Tuesday, February 8, 2011

inikah rasa 'itu'?


Hujan renyai-renyai yang menghilangkan bahang mentari tengahari telah lama berhenti. Bayang-bayang blok M11 memanjang membelakangi matahari yang menyinar dari sudut 45 darjah dan lebih sedikit ke ufuk barat menandakan waktu Asar telah berlalu beberapa ketika, tetapi masih dalam 37 minit waktu afdhol untuk melaksanakan rukun Islam pertama itu. Ah, cepat benar masa berlalu. Benarlah firman Tuhan, ‘Demi masa, manusia dalam kerugian kecuali yang beriman’. Terasa baru sekejap tadi melabuhkan badan untuk menghilangkan sengal-sengal badan natijah daripada menyertai sukan anjuran pelajar kejuruteraan kimia-polimer pagi tadi. Ku melangkah ke surau at-Takwa di kolej Kesebelas, Universiti Teknologi Malaysia.

Seusai solat, kucapai telefon dan membuka ‘inbox’ Sony Ericsson yang berusia tiga tahun. Oh, sudah tiga tahun lebih berlalu selepas hari pertama aku mendaftar di universiti ini. Sedang asyik membelek ‘inbox’ hanset lama ini, tiba-tiba.. “Buzz!..”, perisian Yahoo Masseger berbunyi. Heh, software yang popular dan cepat untuk berhubung pada zaman ini. Ku amati ‘screen laptop’, oh, Khairul rupanya. “Gi dop?”, pantas Khairul bertanya. Aku tersenyum kelat. Kaki kanan masih tersisa sakit akibat terjahan keras pelajar tahun satu ketika perlawanan futsal pagi tadi. Perlahan-lahan aku merapati jariku pada papan kekunci laptop Asus usangku juga berusia tiga tahun, lalu menaip, “xtau lg, xgi kot, mu gi x?”.

Kusarung jaket Adidas kegemaranku. Tergesa-gesa aku mencapai kunci motor yang berada di atas kotak betul-betul berada di muka pintu bilik. Sekilas aku memandang jam, Aduh, sudah 20 minit melewati jam 5 petang. Mesej Khairul sebentar tadi menuntut aku perlu segera bergerak pergi. “Jom ar jis, aku xdop gu ni nk gi,”. Kata-kata ini seakan mengharapkan aku dapat menemaninya bermain bowling di Skudai Parade. Menghampakan harapan seorang yang meminta adalah tidak wajar sebagai seorang Muslim. Itulah indahnya Islam dalam menempa akhlak umatnya. Dalam keletihan, ku tunggangi motosikal empat lejang menuju ke M05. Teringat kata-kata motivasi daripada orang tua ku,” Kito kalu nak buat amal, nak tunggu tubuh sihat, meme tak sihak sokmo, nak tunggu sihat, kukah-kukah mati, kito gi berehat di akhirat”. Tak hairanlah pada usianya menjangkau lewat 60an, kulihat semangat dia melebihi orang muda. Khairul telah sedia menunggu dengan senyuman.

Selesai mengunci motor di tempat parking, kami bergerak masuk ke dalam Skudai Parade. Sepasang mata memerhati kami. Aku berpaling dan memandang ke arah seorang lelaki yang sedang duduk di bangku plastik tidak jauh dari tempat parker motor. Aku sempat melemparkan senyuman kepada seorang uncle India yang bertindak sebagai pengawal di situ. Senyum itu sedekah. Mudah-mudahan terbuka hatinya untuk Islam.
Kami tiba di Skudai Parade Bowl sekitar jam 5.40 atau lebih sedikit. Telah lama menunggu kami, sahabat-sahabat seperjuangan menyambut dengan senyuman. Kami bersalaman. Ukhwah bertaut. Tidak ku sangka, berpeluang berjumpa dengan orang pertama yang membantu ku ketika baru beberapa jam menjejak kaki di UTM tiga tahun setengah yang lepas. Abang Yusuf  a.k.a abang Usop. Ku menyalaminya dengan erat. Ketika itu, aku terkial-kial mencari tempat untuk mengisi perut setelah seharian perjalanan dari kampong, Abang Usop berbaik hati menumpangkan aku motornya. Terasa bagai semalam baru berlalu.

Khairul sibuk bercerita pengalaman pertamanya bermain bowling. “Ni first time nih aku main”, ujar Khairul ketika memegang bola bowling untuk balingan pertama, segera Fahmin menambah, “Ana pon supo jugak”. Aku tersenyum sendirian. ‘Ah, macam lah aku ni dah berpuluh kali bermain bowling, lima kali pun tak sampai’.

Petang itu, suasana di Skudai Parade Bowl berubah. Aku merasainya, tapi tidak terluah. Ternyata, betapa ‘dakwah bil hal’ itu lebih berkesan.

…bersambung…

Glosari
Gu=  kawan
Kukah-kukah= bahasa pasar yang bererti ‘tup-tup’.

No comments:

Post a Comment